Pertumbuhan ekonomi dan pasaran di China, dengan penduduk melebihi 1.4 bilion orang memberi peluang besar kepada negara-negara ASEAN, menurut seorang pegawai Indonesia.
“Pengaruh ekonomi China adalah penggerak penting di sebalik pembangunan RCEP (Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau) pada 2022.
“Penyertaan China dalam RCEP menyediakan akses kepada pasaran pengguna yang besar… menawarkan peluang besar untuk pengeksport ASEAN,” kata Timbalan Penyelaras Kerjasama Ekonomi Antarabangsa di bawah Kementerian Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Edi Prio Pambudi, kepada Xinhua semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-42.
Perjanjian perdagangan bebas RCEP merangkumi 15 negara Asia-Pasifik termasuk 10 negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, dan lima rakan dagang ASEAN, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Menganggap China sebagai kuasa ekonomi, pegawai itu juga berkata bahawa aliran masuk pelaburan langsung asing dari China ke negara ASEAN ‘mengukuhkan pembangunan ekonomi ASEAN’.
Beliau juga menekankan peranan utama China dalam integrasi negara ASEAN ke dalam rantaian nilai global.
“RCEP memperkenalkan rantaian nilai serantau yang menyediakan peluang lebih besar untuk produk perkilangan ASEAN untuk mengambil bahagian dalam rantaian nilai global.
“China, sebagai pemain utama dalam pangkalan pengeluaran global membabitkan pembuatan dan produk berteknologi tinggi, akan kekal penting dalam konteks ini,” kata Pambudi.
Menyedari ancaman ketidaktentuan geopolitik global dan kelembapan ekonomi terhadap pemulihan pasca-pandemik dan prospek ekonomi ASEAN, beliau melahirkan harapan hubungan ekonomi antara ASEAN dan China semakin erat untuk membantu blok serantau berdepan keadaan itu.
“Mengukuhkan kemudahan perdagangan, mengurangkan halangan, dan menggalakkan inisiatif integrasi serantau seperti RCEP boleh meningkatkan perdagangan antara wilayah dan mengukuhkan daya tahan ASEAN terhadap cabaran ekonomi global,” kata Pambudi.
Sumber: BHarian